Fitnah Kiamat

  • Segera kepada amalan baik sebelum datang 6 perkara

    Mnurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Bersegeralah kamu dengan amalan-amalan (soleh, baik) sebelum datang enam perkara; terbit matahari dari barat, (datang) dajal, (muncul) asap, (muncul) binatang melata dari dalam bumi, kematian setiap kamu sekalian dan perkara umum (kiamat).

    Dijelaskan di bawahnya: Qatadah berkata; “apabila Rasul mengatakan ‘perkara umum’, maka yang dimaksudkan ialah perkara kiamat”.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, halaman 62.

  • Kiamat tidak akan terjadi sebelum ada orang Islam bersekutu dengan bukan Muslim, kembali sembah berhala

    Imam Ahmad meriwayatkan; daripada Tsauban sabda Rasulullah SAW (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah telah mengerutkan bumi di hadapanku, sehingga saya dapat melihat negeri-negeri timur dan barat. Dan sesungguhnya, kerajaan umatku akan mencapai bahagian-bahagian bumi yang dikerutkan itu. Dan sesungguhnya saya telah diberikan dua gudang kekayaan, yang merah dan yang putih (emas dan perak). Dan sesungguhnya saya telah memohon kepada Tuhanku, agar umatku tidak dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka. Dan sesungguhnya Tuhanku yang Maha Perkasa, lagi Maha Tinggi berfirman: Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah memutuskan suatu keputusan, maka tidak akan boleh ditolak. Sesungguhnya Aku telah mengabulkan (menerima) permohonanmu bagi umatmu, yakni mereka tidak akan dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan takkan dikuasai oleh musuh selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka, sekalipun mereka dikepung dari segala penjuru bumi – atau Allah berfirman; orang-orang yang tinggal di segala penjuru bumi – melainkan sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian yang lainnya, dan sebahagian mereka menawan sebahagian lainnya. Adapun yang saya khuatirkan terhadap umatku, tidak lain adalah pemimpin yang menyesatkan. Dan apabila pedang diletakkan di tengah umatku, maka tidak akan diangkat lagi daripada mereka sampai hari kiamat. Dan tidak akan terjadi kiamat, sehingga ada beberapa kabilah daripada umatku yang bergabung (bersekutu) dengan orang-orang musyrik (orang mempersekutukan Allah), dan sehingga adanya beberapa kabilah daripada umatku yang kembali menyembah berhala. Dan sesungguhnya akan muncul di tengah umatku, tiga puluh orang pendusta, masing-masing mengaku dirinya nabi, padahal saya adalah penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi selepas saya. Namun akan sentiasa ada segolongan umatku yang membela kebenaran. Mereka tidak peduli terhadap sesiapa pun yang melawan mereka, sampai datangnya perintah Allah (maksudnya kiamat).

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Seorang pada pagi jadi mukmin dan petang kafir, petang mukmin dan pagi kafir

    Diriwayatkan oleh Abu Daud: Daripada Abu Musa al-Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Sesungguhnya akan berlaku pelbagai fitnah (huru-hara, kacau-bilau) menjelang kiamat, bagaikan potongan malam yang gelap; seorang lelaki pada pagi mukmin dan petang kafir. Dan pada petang mukmin, manakala pagi menjadi kafir. Orang duduk lebih baik daripada orang berdiri. Orang berjalan lebih baik daripada orang berlari. Maka, dari itu patuhkan busur-busurmu, potonglah tali-talinya, dan hentamlah pedang-pedangmu dengan batu. Maka, jika dimasuki yakni ke atas seorang daripada kamu (rumahnya), maka tirulah yang terbaik antara dua anak Adam.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Manusia berbunuh-bunuhan kerana berebut kekayaan

    Diriwayatkan oleh Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak berlaku hari kiamat sehingga lembah al-Furat menyingkapkan sebuah bukit daripada emas, yang menyebabkan berlaku berbunuh-bunuhan manusia (merebutkan) ke atasnya. Maka, terbunuh 99 daripada setiap 100 (orang). Dan setiap lelaki daripada mereka berkata, mungkin sayalah orang yang akan selamat (bertahan).

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Gudang kekayaan daripada emas di Furat

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah; Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak lama lagi lembah al-Furat akan membuka gudang kekayaan daripada emas. Maka, sesiapa mengalaminya (mengalami saat itu), maka janganlah dia mengambil daripadanya sesuatu pun.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Kiamat tidak akan terjadi sehingga kabilah Daus murtad

    Diriwayatkan oleh al-Bukhari: Daripada Abu Hurairah; pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    لا تقومُ الساعةُ حتَّى تَضطَرِبَ أَلَيَاتُ نِساءِ دَوسٍ علَى ذِى الخَلَصَةِ

    (Mafhumnya): Kiamat tidak akan terjadi, sehingga punggung wanita Daus bergoyang-goyang di Dzul Khalasoh.

    HURAIAN:

    Ibnu Atsir berkata: Yang dimaksudkan di sini ialah kiamat tidak akan terjadi sehingga kabilah Daus murtad daripada Islam, lalu wanita mereka menari berpusing-pusing mengelilingi Dzul Khalasoh, sambil menari mengoyang-goyangkan punggung mereka, seperti yang dulu mereka lakukan pada zaman jahiliyah. (Keterangan pada catatan nota kaki Huru-Hara Hari Kiamat)

    Dzul Khalasoh ialah rumah berhala di tanah/tempat Daus. Daus satu kabilah dari Yaman. (Keterangan dalam hadithprophet.com)

    ( أليات ) diberikan baris atas pada hamzah dan lam. (Menurut islamweb.net)

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat — Turut dilihat pada sunnah.com; hadeethenc.com, hadithprophet.com, dan islamweb.net.

  • Akan berlaku fitnah, orang duduk lebih baik daripada orang berdiri

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

    ستكون فتن القاعد فيها خير من القائم والقائم خير من الماشي وجد ملجأ أو معاذا فليعد به

    (Mafhumnya): Akan terjadi fitnah (huru-hara), orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, dan orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan. Sesiapa yang menemui tempat perlindungan atau perlindungan hendaklah mencarinya.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Zaman berikutnya lebih buruk dari zaman semasa

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada ‘Adi, dia berkata, pernah kami datang kepada Anas bin Malik, lalu kami mengadu kepadanya mengenai apa yang kami alami daripada perbuatan al-Hajjaj.

    Anas berkata: Bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya tidak ada satu zaman yang dialami manusia melainkan zaman berikutnya lebih buruk lagi dari sebelumnya, sehingga kamu menemui Tuhanmu. Saya mendengar ini daripada Nabi SAW.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Al-Mahdi daripada keturunan Fatimah

    Abu Dawud meriwayatkan perkataan Ummu Salamah: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    المَهدِي مِن عِترَتِي مِن وَلَد فاطمة

    (Mafhumnya): Al-Mahdi daripada keturunanku daripada anak (keturunan) Fatimah.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Dibangkitkan lelaki keturunan Rasulullah memenuhi dunia dengan keadilan

    Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa perawi hadis ini berkata: Saya pernah mendengar Ali berkata, sabda Rasulullah SAW bersabda:

    لو لكم يبقَ مِنَ الدَهرِ إِلَّا يوم لَبَعَثَ اللهُ رَجُلًا مِن أَهلِ بَيتِي يَملَأُها عَدلًا كما مُلِئَت جَورًا

    (Mafhumnya): Walaupun bagi kamu masih ada daripada dunia (umur dunia ini tinggal) sehari lagi, nescaya Allah membangkitkan seorang lelaki daripada ahli rumahku (keturunanku) yang memenuhinya (dunia) dengan keadilan, sebagaimana telah dipenuhi dengan kezaliman.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.