HADIS

  • Kiamat tidak akan terjadi sebelum ada orang Islam bersekutu dengan bukan Muslim, kembali sembah berhala

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya: Imam Ahmad meriwayatkan; daripada Tsauban sabda Rasulullah SAW (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah telah mengerutkan bumi di hadapanku, sehingga saya dapat melihat negeri-negeri timur dan barat. Dan sesungguhnya, kerajaan umatku akan mencapai bahagian-bahagian bumi yang dikerutkan itu. Dan sesungguhnya saya telah diberikan dua gudang kekayaan, yang merah dan yang putih (emas dan perak). Dan sesungguhnya saya telah memohon kepada Tuhanku, agar umatku tidak dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka. Dan sesungguhnya Tuhanku yang Maha Perkasa, lagi Maha Tinggi berfirman: Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah memutuskan suatu keputusan, maka tidak akan boleh ditolak. Sesungguhnya Aku telah mengabulkan (menerima) permohonanmu bagi umatmu, yakni mereka tidak akan dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan takkan dikuasai oleh musuh selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka, sekalipun mereka dikepung dari segala penjuru bumi – atau Allah berfirman; orang-orang yang tinggal di segala penjuru bumi – melainkan sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian yang lainnya, dan sebahagian mereka menawan sebahagian lainnya. Adapun yang saya khuatirkan terhadap umatku, tidak lain adalah pemimpin yang menyesatkan. Dan apabila pedang diletakkan di tengah umatku, maka tidak akan diangkat lagi daripada mereka sampai hari kiamat. Dan tidak akan terjadi kiamat, sehingga ada beberapa kabilah daripada umatku yang bergabung (bersekutu) dengan orang-orang musyrik (orang mempersekutukan Allah), dan sehingga adanya beberapa kabilah daripada umatku yang kembali menyembah berhala. Dan sesungguhnya akan muncul di tengah umatku, tiga puluh orang pendusta, masing-masing mengaku dirinya nabi, padahal saya adalah penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi selepas saya. Namun akan sentiasa ada segolongan umatku yang membela kebenaran. Mereka tidak peduli terhadap sesiapa pun yang melawan mereka, sampai datangnya perintah Allah (maksudnya kiamat).

  • Seorang pada pagi jadi mukmin dan petang kafir, petang mukmin dan pagi kafir

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya: Diriwayatkan oleh Abu Daud: Daripada Abu Musa al-Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Sesungguhnya akan berlaku pelbagai fitnah (huru-hara, kacau-bilau) menjelang kiamat, bagaikan potongan malam yang gelap; seorang lelaki pada pagi mukmin dan petang kafir. Dan pada petang mukmin, manakala pagi menjadi kafir. Orang duduk lebih baik daripada orang berdiri. Orang berjalan lebih baik daripada orang berlari. Maka, dari itu patuhkan busur-busurmu, potonglah tali-talinya, dan hentamlah pedang-pedangmu dengan batu. Maka, jika dimasuki yakni ke atas seorang daripada kamu (rumahnya), maka tirulah yang terbaik antara dua anak Adam.

  • Manusia berbunuh-bunuhan kerana merebutkan kekayaan

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya mengenai kiamat: Diriwayatkan oleh Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak berlaku hari kiamat sehingga lembah al-Furat menyingkapkan sebuah bukit daripada emas, yang menyebabkan berlaku berbunuh-bunuhan manusia (merebutkan) ke atasnya. Maka, terbunuh 99 daripada setiap 100 (orang). Dan setiap lelaki daripada mereka berkata, mungkin sayalah orang yang akan selamat (bertahan).

  • Gudang kekayaan daripada emas di Furat

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya mengenai kiamat: Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah; Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak lama lagi lembah al-Furat akan membuka gudang kekayaan daripada emas. Maka, sesiapa mengalaminya (mengalami saat itu), maka janganlah dia mengambil daripadanya sesuatu pun.

  • Tiada pewarisan bagi anak zina

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Abu Kuraib menceritakan, Yahya bin al-Yamaan menceritakan, daripada al-Mutsanna bin as-Sobbaah, daripada Amru bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya, berkata; Rasulullah SAW bersabda:

    مَن عَاهَرَ أَمَةً أَو حُرَّةً فَوَلَدُهُ وَلَدُ زِنًا لَا يَرِثُ وَ لَا يُورَثُ

    (Mafhumnya): Sesiapa melakukan zina dengan hamba perempuan atau perempuan merdeka, maka anaknya anak zina, tidak mewariskan dan tidak diwariskan.

  • Larangan jual beli dan hibah pewalian (hamba)

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ali bin Muhammad menceritakan, Waki’ menceritakan, Syu’bah dan Sufyan menceritakan, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibnu Umar, berkata:

    نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليهِ و سلَّمَ عَن بَيعِ الوَلَاءِ وَ عَن هِبَتِهِ

    (Ertinya): Rasulullah SAW melarang daripada jual beli pewalian ( الوَلَاءِ ) dan daripada menghibahkannya ( هِبَتِهِ ).

  • Pewarisan pada masa jahiliah, Islam

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Muhammad bin Rumh ( رُمْح ), Abdullah bin Lahi’ah ( لَهِيعَة ) mengkhabarkan, daripada ‘Uqail ( عُقَيل ), bahawa dia mendengar Nafi’ mengkhabarkan, daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    مَا كانَ مِن مِيرَاثِ قُسِمَ فِي الجَاهِلِيَّةِ فَهُوَ عَلَى قِسمَةِ الجَاهِلِيَّةِ وَ مَا كانَ مِن مِيرَاثِ أَدْرَكَهُ الإِسلَامُ فَهُوَ عَلَى قِسمَةِ الإِسلَامِ

    (Mafhumnya): Apa saja daripada pewarisan dibahagikan pada masa jahiliah, maka ianya menurut pembahagian jahiliah, dan apa saja daripada pewarisan yang didapatinya pada masa Islam, maka ianya mengikut pembahagian Islam.

  • Tiada pewarisan muslim ke atas orang bukan muslim dan sebaliknya

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Hisyam bin Ammar dan Muhammad bin as-Sobbah menceritakan, kedua-duanya berkata, telah menceritakan kepada kami oleh Sufyan bin Uyainah, daripada az-Zuhri, daripada Ali bin al-Husain, daripada Amru bin Utsman, daripada Usamah bin Zaid, dia berkata – secara marfu’ – Nabi SAW bersabda:

    لَا يَرِثُ المُسلِمُ الكَافِرَ وَ لَا الكَافِرُ المُسلِمَ

    (Mafhumnya): Seorang muslim tidak mewariskan (harta) kepada seorang kafir, dan seorang kafir tidak (mewariskan harta) kepada seorang muslim.

    Dalam satu lagi jalur hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Usamah (bin Zaid) berkata, Rasulullah SAW bersabda:

    لَا يَرِثُ المُسلِمُ الكَافِرَ وَ لَا الكَافِرُ المُسلِمَ

    (Mafhumnya): Seorang muslim tidak mewariskan (harta) kepada seorang kafir, dan seorang kafir tidak (mewariskan) kepada muslim.

  • Orang tidak mempunyai ahli waris

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ismail bin Musa menceritakan, Sufyan bin Uyainah menceritakan, daripada Amru bin Dinar, daripada ‘Ausajah, daripada Ibnu Abbas, dia berkata:

    مَاتَ رَجُلٌ عَلَى عَهدِ رَسُولِ اللّٰهِ صَلَّى الله عليه وَ سلَّمَ وَ لَم يَدَعْ لَهُ وَارِثًا إِلَّا عَبدًا هُوَ أَعْتَقَهُ فَدَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عليه وَ سلَّمَ مِيْرَاثَهُ إِلَيهِ

    (Ertinya): Seorang lelaki mati, pada masa Rasulullah SAW, dan tiada baginya seorang waris, kecuali seorang hamba yang dia telah merdekakan, maka Nabi SAW memberikan pewarisannya kepadanya.

  • Ucapan talbiah

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ali bin Muhammad menceritakan, Abu Muawiyah dan Abu Usamah dan Abdullah bin Numair, daripada Ubaidullah bin Umar, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar berkata:

    تَلَقَّفْتُ التَّلْبِيَةَ مِن رَسُولِ اللهِ صلى الله عليهِ وسلمَ وَ هُوَ يَقولُ

    (Ertinya): Saya mengambil ucapan talbiah daripada Rasulullah SAW, dan baginda mengucapkan:

    لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيكَ لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الحَمْدَ وَ النِّعْمَةَ لَكَ وَ المُلْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

    (Mafhumnya): Wahai Allah, saya penuhi panggilan-Mu. Saya penuhi panggilan-Mu. Saya penuhi panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Saya penuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian, kenikmatan dan kerajaan hanya milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.

    قَالَ وَ كَانَ ابنُ عُمَرَ يَزِيدُ فِيهَا لَبَّيْكَ لَبَّيكَ لَبَّيْكَ وَ سَعدَيْكَ وَ الخَيْرُ فِي يَدَيْكَ لَبَّيْكَ وَ الرَّغْبَاءُ إِلَيْكَ وَ العَمَلُ

    (Ertinya): Dia berkata (perawi berkata) Ibnu Umar menambahkan padanya (ungkapan talbiah dengan ucapan): Aku penuhi panggilan-Mu. Aku penuhi panggilan-Mu. Aku penuhi panggilan-Mu. Kebahagiaan dan kebaikan pada tangan-Mu (dalam kekuasaan-Mu). Aku penuhi panggilan-Mu. Permohohan dan amalan kepada-Mu.