HADIS

  • Suara Abu Musa seperti mizmar daripada mazamir keluarga Daud

    Daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya telah diberikan kepada Abu Musa (suara seperti) “mizmar” daripada “mazaamiir” keluarga Daud. (Diriwayatkan oleh Ad-Darimi)

    HURAIAN

    Menurut laman web mofradat.com:

    “Mizmar” ( مِزْمَار ) ialah kata tunggal — akar kata ( زمر – ز م ر ) — kata jamak (banyak) ialah ( مَزَامِير ). “Mizmar” ( مِزْمار ) ialah alat muzik atau instrumen yang diperbuat daripada kayu atau logam…ditiup untuk menghasilkan bunyi.

    “Mazmur” ( مَزْمُور ) ialah kata tunggal. Akar kata: ( زمر – ز م ر ). (Satu daripada erti diberikan ialah) Alat muzik/instrumen diperbuat daripada kayu atau logam dengan lubang jari, kunci, dan buluh — apabila ditiup ke dalamnya, ia menghasilkan bunyi. “Mazaamiir Daud” ( مزاميرُ داود ) ialah apa yang dia nyanyikan dengannya daripada “anasyid” (nasyid, himne, lagu-lagu pujian) dan doa-doa. (Satu lagi makna diberikan kepada) “Mazaamiir Daud” ( مزاميرُ داود ) ialah sebuah kitab yang menghimpunkan padanya mazaamiir Daud dan Sulaiman, semoga kesejahteraan dilimpahkan kepada kedua-duanya, dan ia dikatakan baginya: Zabur.

    Laman web prpm.dbp.gov.my memetik Kamus Dewan Edisi Keempat, memberi makna “mazmur” : Nyanyian untuk memuji dan memuliakan Tuhan (daripada Kitab Zabur); bermazmur menyanyikan mazmur. Perkataan “mizmar” diberikan makna sebagai sejenis serunai Arab.

    Menurut wikipedia.org: Mazmur, dalam Islam juga dipanggil Zabur.

  • Pujian Nabi kepada suara bacaan Quran

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW masuk, maka baginda mendengar qiraat (bacaan) seorang lelaki. Maka, baginda berkata (bertanya): Siapakah (orang) ini? Dikatakan: Abdullah bin Qais. Baginda bersabda: Sesungguhnya, telah diberikan (suara orang) ini (seperti) daripada “mazaamiir” keluarga Daud. (Diriwayatkan oleh ad-Darimi)

  • Hiasi al-Quran dengan suara yang elok

    Daripada al-Bara’, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Hiasilah kamu al-Quran dengan suara-suara kamu. (Diriwayatkan oleh ad-Darimi)

  • Perelokkan suara apabila baca al-Quran

    Daripada al-Bara’ bin ‘Azib berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perelokkan al-Quran dengan suara-suara kamu, maka sesungguhnya suara yang elok (indah) menambah keelokan (keindahan) al-Quran. (Diriwayatkan oleh ad-Darimi)

  • Buat baik ketika Islam, tidak dihukum dengan apa dilakukan ketika jahiliyah

    Daripada Abdullah berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, maka dia berkata: Wahai Rasulullah, apakah seorang lelaki akan dihukum dengan apa (suatu yang buruk) dilakukan pada masa (ketika) jahiliyah?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa berbuat baik pada masa (ketika) Islam, tidak dihukum dengan apa yang dilakukan pada masa (ketika) jahiliyah, dan sesiapa melakukan keburukan pada masa (ketika) Islam, dia dihukum dengan yang awal (yang lalu) dan yang akhir (yang seterusnya). (Diriwayatkan oleh ad-Darimi)

  • Sesiapa menceritakan hadis yang dusta, maka dia pendusta

    عن علِيٍّ رَضِيَ اللهُ عنهُ عن النبي صلى اللهُ عليهِ وسلمَ قال مَن حدَّثَ عنِّي حد يثا وَهُوَ يَرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أحد الكاذِبَينِ

    Daripada Ali RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Sesiapa menyampai satu hadis daripadaku, sedangkan dia melihat (mendapati) bahawa ianya (hadis itu) dusta, maka dia seorang daripada dua pendusta. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

  • Sesiapa berdusta atas Nabi SAW akan ke neraka

    عن علِيٍّ قال قال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ لَا تَكذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّ الكَذِبَ عَلَيَّ يُولِجُ النَّارَ

    Daripada Ali berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jangan kamu berdusta atasku, kerana sesungguhnya dusta atasku akan memasukkan ke neraka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, halaman 4.

  • Sesiapa berdusta ke atas nabi dengan sengaja, tempatnya di neraka

    عَن عبدِ الرحمنِ بنِ عبدِ اللهِ بنِ مسعودٍ عَن أَبِيهِ قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَليَتَبَوَّأ مَقعَدَهُ مِنَ النار

    Daripada Abdur Rahman bin Abdullah bin Mas’ud daripada bapanya, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa berdusta atas saya dengan sengaja, maka biar dia mengambil tempatnya dari neraka. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 4.

  • Buat apa yang nabi suruh, tinggalkan apa dilarang — orang dahulu binasa kerana perselisihan dengan nabi mereka

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Biarkan apa yang telah saya tinggalkan untuk kamu, maka sesungguhnya orang sebelum kamu binasa kerana soalan mereka dan perselisihan mereka ke atas nabi-nabi mereka. Maka, apabila saya perintahkan kamu dengan sesuatu, maka ambillah (laksanakan oleh) kamu daripadanya semampu kamu, dan apabila saya melarang kamu daripada sesuatu, maka kamu jauhilah (hindarilah). (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 1)

  • Ambil apa yang nabi suruh, tinggalkan apa yang nabi larang

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apa yang saya perintahkan kamu dengannya, maka ambillah ia, dan apa yang saya larang kamu daripadanya, maka tinggalkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 1.