HADIS

  • Mina, Makkah, Arafah dan Muzdalifah

    Daripada Jabir (RA), dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Mina seluruhnya adalah tempat penyembelihan, dan seluruh pelosok kota Makkah adalah jalan dan tempat penyembelihan, dan seluruh Arafah adalah tempat wukuf, dan seluruh Muzdalifah adalah tempat wukuf. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 684.

  • Keutamaan kota suci Makkah

    عَن صَفِيَّةَ بِنتِ شَيبَةَ قالَتْ سَمِعْتُ النَبِيَّ صَلَّى اللهُ عليهِ و سلَّمَ يَخطُبُ عامَ
    الفَتحِ فقال يا أيُّها النَّاسُ إِنَّ اللّٰهَ حَرَّمَ مَكَّةَ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوَاتِ وَ الأَرضَ فَهِيَ حَرَامٌ إِلَى يَومِ القِيَامَةِ لَا يُعضَدُ شَجَرُها و لا يُنَفَّرُ صَيدُها و لا يَأخَذُ لُقْطَتَها إلا مُنشِدٌ فَقَالَ العَبَّاسُ إلا الإِذْخِرَ فإنَّهُ لِلْبُيُوتِ وَ القُبُورِ فقال رسولُ الله صلى الله عليه وسلمَ إِلَّا الإِذْخِرَ

    (Ertinya): Daripada Sofiah binti Syaibah, dia berkata; saya mendengar Nabi SAW pada tahun pembukaan (tahun pembukaan Makkah), maka baginda bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Allah mengharamkan (mensucikan) Makkah pada hari dia menciptakan langit dan bumi, maka ia haram (suci) sehingga hari kiamat, tidak dicabut pohonnya, tidak diusir haiwan buruannya, dan tidak diambil barang temuannya, melainkan orang yang hendak mengumumkannya. Abbas berkata: Kecuali “izkir”, sesungguhnya ia untuk rumah-rumah dan kuburan. Rasulullah SAW bersabda: Kecuali “izkir”. (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 702.

  • Segera kepada amalan baik sebelum datang 6 perkara

    Mnurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Bersegeralah kamu dengan amalan-amalan (soleh, baik) sebelum datang enam perkara; terbit matahari dari barat, (datang) dajal, (muncul) asap, (muncul) binatang melata dari dalam bumi, kematian setiap kamu sekalian dan perkara umum (kiamat).

    Dijelaskan di bawahnya: Qatadah berkata; “apabila Rasul mengatakan ‘perkara umum’, maka yang dimaksudkan ialah perkara kiamat”.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, halaman 62.

  • Kiamat tidak akan terjadi sebelum ada orang Islam bersekutu dengan bukan Muslim, kembali sembah berhala

    Imam Ahmad meriwayatkan; daripada Tsauban sabda Rasulullah SAW (mafhumnya):

    Sesungguhnya Allah telah mengerutkan bumi di hadapanku, sehingga saya dapat melihat negeri-negeri timur dan barat. Dan sesungguhnya, kerajaan umatku akan mencapai bahagian-bahagian bumi yang dikerutkan itu. Dan sesungguhnya saya telah diberikan dua gudang kekayaan, yang merah dan yang putih (emas dan perak). Dan sesungguhnya saya telah memohon kepada Tuhanku, agar umatku tidak dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka. Dan sesungguhnya Tuhanku yang Maha Perkasa, lagi Maha Tinggi berfirman: Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah memutuskan suatu keputusan, maka tidak akan boleh ditolak. Sesungguhnya Aku telah mengabulkan (menerima) permohonanmu bagi umatmu, yakni mereka tidak akan dibinasakan dengan kemarau yang merata, dan takkan dikuasai oleh musuh selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka, sekalipun mereka dikepung dari segala penjuru bumi – atau Allah berfirman; orang-orang yang tinggal di segala penjuru bumi – melainkan sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian yang lainnya, dan sebahagian mereka menawan sebahagian lainnya. Adapun yang saya khuatirkan terhadap umatku, tidak lain adalah pemimpin yang menyesatkan. Dan apabila pedang diletakkan di tengah umatku, maka tidak akan diangkat lagi daripada mereka sampai hari kiamat. Dan tidak akan terjadi kiamat, sehingga ada beberapa kabilah daripada umatku yang bergabung (bersekutu) dengan orang-orang musyrik (orang mempersekutukan Allah), dan sehingga adanya beberapa kabilah daripada umatku yang kembali menyembah berhala. Dan sesungguhnya akan muncul di tengah umatku, tiga puluh orang pendusta, masing-masing mengaku dirinya nabi, padahal saya adalah penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi selepas saya. Namun akan sentiasa ada segolongan umatku yang membela kebenaran. Mereka tidak peduli terhadap sesiapa pun yang melawan mereka, sampai datangnya perintah Allah (maksudnya kiamat).

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Seorang pada pagi jadi mukmin dan petang kafir, petang mukmin dan pagi kafir

    Diriwayatkan oleh Abu Daud: Daripada Abu Musa al-Asy’ari, Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Sesungguhnya akan berlaku pelbagai fitnah (huru-hara, kacau-bilau) menjelang kiamat, bagaikan potongan malam yang gelap; seorang lelaki pada pagi mukmin dan petang kafir. Dan pada petang mukmin, manakala pagi menjadi kafir. Orang duduk lebih baik daripada orang berdiri. Orang berjalan lebih baik daripada orang berlari. Maka, dari itu patuhkan busur-busurmu, potonglah tali-talinya, dan hentamlah pedang-pedangmu dengan batu. Maka, jika dimasuki yakni ke atas seorang daripada kamu (rumahnya), maka tirulah yang terbaik antara dua anak Adam.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Manusia berbunuh-bunuhan kerana berebut kekayaan

    Diriwayatkan oleh Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak berlaku hari kiamat sehingga lembah al-Furat menyingkapkan sebuah bukit daripada emas, yang menyebabkan berlaku berbunuh-bunuhan manusia (merebutkan) ke atasnya. Maka, terbunuh 99 daripada setiap 100 (orang). Dan setiap lelaki daripada mereka berkata, mungkin sayalah orang yang akan selamat (bertahan).

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Gudang kekayaan daripada emas di Furat

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah; Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Tidak lama lagi lembah al-Furat akan membuka gudang kekayaan daripada emas. Maka, sesiapa mengalaminya (mengalami saat itu), maka janganlah dia mengambil daripadanya sesuatu pun.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Tiada pewarisan bagi anak zina

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Abu Kuraib menceritakan, Yahya bin al-Yamaan menceritakan, daripada al-Mutsanna bin as-Sobbaah, daripada Amru bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya, berkata; Rasulullah SAW bersabda:

    مَن عَاهَرَ أَمَةً أَو حُرَّةً فَوَلَدُهُ وَلَدُ زِنًا لَا يَرِثُ وَ لَا يُورَثُ

    (Mafhumnya): Sesiapa melakukan zina dengan hamba perempuan atau perempuan merdeka, maka anaknya anak zina, tidak mewariskan dan tidak diwariskan.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah.

  • Larangan jual beli dan hibah pewalian (hamba)

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ali bin Muhammad menceritakan, Waki’ menceritakan, Syu’bah dan Sufyan menceritakan, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibnu Umar, berkata:

    نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليهِ و سلَّمَ عَن بَيعِ الوَلَاءِ وَ عَن هِبَتِهِ

    (Ertinya): Rasulullah SAW melarang daripada jual beli pewalian ( الوَلَاءِ ) dan daripada menghibahkannya ( هِبَتِهِ ).

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah.

  • Pewarisan pada masa jahiliah, Islam

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Muhammad bin Rumh ( رُمْح ), Abdullah bin Lahi’ah ( لَهِيعَة ) mengkhabarkan, daripada ‘Uqail ( عُقَيل ), bahawa dia mendengar Nafi’ mengkhabarkan, daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    مَا كانَ مِن مِيرَاثِ قُسِمَ فِي الجَاهِلِيَّةِ فَهُوَ عَلَى قِسمَةِ الجَاهِلِيَّةِ وَ مَا كانَ مِن مِيرَاثِ أَدْرَكَهُ الإِسلَامُ فَهُوَ عَلَى قِسمَةِ الإِسلَامِ

    (Mafhumnya): Apa saja daripada pewarisan dibahagikan pada masa jahiliah, maka ianya menurut pembahagian jahiliah, dan apa saja daripada pewarisan yang didapatinya pada masa Islam, maka ianya mengikut pembahagian Islam.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah.