HADIS

  • Nabi tawaf 7 kali, kemudian mengerjakan solat dua rakaat

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ali bin Muhammad dan Amru bin Abdullah, kedua-duanya berkata, telah menceritakan kepada kami oleh Waki’, daripada Muhammad bin Tsabit al-‘Abdiyy, daripada Amru bin Dinar, daripada Ibnu Umar RA:

    أنَّ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَدِمَ فَطَافَ بِالبَيْتِ سَبْعًا ثُمَّ صَلَّى ركعتَينِ قال وَكِيعٌ يَعنِي عِندَ المَقَامِ ثُمَّ خَرَجَ إلى الصَّفا

    (Mafhumnya): Bahawa Rasulullah SAW datang (ke Makkah), maka baginda melakukan tawaf di al-Bait (Baitullah) tujuh kali, kemudian baginda mengerjakan solat dua rakaat. Kata Waki’: “Yakni di sisi maqam (solat ini dilakukan di sisi Maqam Ibrahim).” Kemudian, baginda keluar ke as-Sofa (ke Safa untuk sai).

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah

  • Sesiapa tawaf dan solat dua rakaat seolah-olah merdekakan seorang hamba

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Ali bin Muhammad menceritakan, Muhmmad bin al-Fudhail menceritakan, daripada al-‘Ala bin al-Musayyab, daripada ‘Atho, daripada Abdullah bin Umar berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    مَن طافَ بالبيتِ وَصلَّى ركعتَينِ كانَ كَعِتْقِ رَقَبَةٍ

    (Mafhumnya): Sesiapa melakukan tawaf di al-Bait (Baitullah) dan melakukan solat dua rakaat, adalah (ganjarannya) seumpama membebaskan seorang hamba.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah

  • Cara berpakaian Nabi ketika tawaf

    Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Diceritakan oleh Muhammad bin Yahya, diceritakan oleh Muhammad bin Yusuf dan Qabisoh, kedua-duanya berkata, Sufyan telah menceritakan daripada Ibnu Juraij, daripada Abdul Hamid, daripada Ibnu Ya’la bin Umayyah, daripada bapanya Ya’la:

    أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلمَ طافَ مُضْطَبِعًا قال قبيصةُ وَعليهِ بُرْدٌ

    (Mafhumnya): Bahawa Nabi SAW melakukan tawaf dengan idhthiba’ (melipat kain dari bawah ketiak sebelah kanan ke pundak sebelah kiri). Kata Qabisoh, dan di atasnya burd (selendang bergaris).

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah

  • Kiamat tidak akan terjadi sehingga kabilah Daus murtad

    Diriwayatkan oleh al-Bukhari: Daripada Abu Hurairah; pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    لا تقومُ الساعةُ حتَّى تَضطَرِبَ أَلَيَاتُ نِساءِ دَوسٍ علَى ذِى الخَلَصَةِ

    (Mafhumnya): Kiamat tidak akan terjadi, sehingga punggung wanita Daus bergoyang-goyang di Dzul Khalasoh.

    HURAIAN:

    Ibnu Atsir berkata: Yang dimaksudkan di sini ialah kiamat tidak akan terjadi sehingga kabilah Daus murtad daripada Islam, lalu wanita mereka menari berpusing-pusing mengelilingi Dzul Khalasoh, sambil menari mengoyang-goyangkan punggung mereka, seperti yang dulu mereka lakukan pada zaman jahiliyah. (Keterangan pada catatan nota kaki Huru-Hara Hari Kiamat)

    Dzul Khalasoh ialah rumah berhala di tanah/tempat Daus. Daus satu kabilah dari Yaman. (Keterangan dalam hadithprophet.com)

    ( أليات ) diberikan baris atas pada hamzah dan lam. (Menurut islamweb.net)

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat — Turut dilihat pada sunnah.com; hadeethenc.com, hadithprophet.com, dan islamweb.net.

  • Akan berlaku fitnah, orang duduk lebih baik daripada orang berdiri

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

    ستكون فتن القاعد فيها خير من القائم والقائم خير من الماشي وجد ملجأ أو معاذا فليعد به

    (Mafhumnya): Akan terjadi fitnah (huru-hara), orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, dan orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan. Sesiapa yang menemui tempat perlindungan atau perlindungan hendaklah mencarinya.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Zaman berikutnya lebih buruk dari zaman semasa

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada ‘Adi, dia berkata, pernah kami datang kepada Anas bin Malik, lalu kami mengadu kepadanya mengenai apa yang kami alami daripada perbuatan al-Hajjaj.

    Anas berkata: Bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya tidak ada satu zaman yang dialami manusia melainkan zaman berikutnya lebih buruk lagi dari sebelumnya, sehingga kamu menemui Tuhanmu. Saya mendengar ini daripada Nabi SAW.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Al-Mahdi daripada keturunan Fatimah

    Abu Dawud meriwayatkan perkataan Ummu Salamah: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    المَهدِي مِن عِترَتِي مِن وَلَد فاطمة

    (Mafhumnya): Al-Mahdi daripada keturunanku daripada anak (keturunan) Fatimah.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Dibangkitkan lelaki keturunan Rasulullah memenuhi dunia dengan keadilan

    Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa perawi hadis ini berkata: Saya pernah mendengar Ali berkata, sabda Rasulullah SAW bersabda:

    لو لكم يبقَ مِنَ الدَهرِ إِلَّا يوم لَبَعَثَ اللهُ رَجُلًا مِن أَهلِ بَيتِي يَملَأُها عَدلًا كما مُلِئَت جَورًا

    (Mafhumnya): Walaupun bagi kamu masih ada daripada dunia (umur dunia ini tinggal) sehari lagi, nescaya Allah membangkitkan seorang lelaki daripada ahli rumahku (keturunanku) yang memenuhinya (dunia) dengan keadilan, sebagaimana telah dipenuhi dengan kezaliman.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Umat Muhammad terawal masuk syurga

    Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Nasai, lafaz hadis ini menurut Nasai: Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda:

    نحنُ الأٰخِرونَ الأَوَّلُونَ يَومَ القيامةِ نحنُ أوَّلُ النَّاسِ دُخُولًا مِنَ الجنَّةِ

    (Mafhumnya): Kita adalah (umat) yang terakhir, yang awal pada hari kiamat. Kita adalah manusia yang awal masuk syurga.

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya: Diriwayatkan oleh Muslim: Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW:

    حنُ الأٰخِرونَ الأَوَّلُونَ يَومَ القيامةِ وَ أوَّلُ مَن يَدخُلُ الجنَّةَ

    (Mafhumnya): Kita (umat) yang terakhir, yang pertama pada hari kiamat dan orang yang awal masuk syurga.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.

  • Syurga ada lapan pintu, Rayyan untuk orang berpuasa

    Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: Daripada Sahal bin Saad, Rasulullah SAW bersabda:

    (Mafhumnya): Di jannah (syurga ada) lapan pintu, satu pintu daripadanya dinamakan ar-rayyan, tidak memasukinya melainkan orang-orang yang berpuasa. Maka, apabila mereka sudah masuk, ditutup (pintu itu). Maka, tidak memasukinya seseorang selain mereka.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir.