HADIS

  • Islam bermula asing, akan kembali asing

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya; diriwayatkan hadis sahih daripada Abdullah bin Mas’ud sabda Rasulullah SAW:

    إنَّ الإسلامَ بدأَ غَرِيبًا وَسَيعُودُ غريبًا كَما بدأَ فَطُوبَى لِلغُرَبَاءِ قِيلَ وَمَن الغُرَباءِ قالَ النَزَائِحُ مِن القَبائِلِ

    (Mafhumnya): Sesungguhnya Islam bermula asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula, maka berbahagialah bagi orang-orang yang asing. Dikatakan (ditanya): Dan siapakah orang-orang yang asing itu? Baginda berkata (menjawab): Kabilah-kabilah yang jauh (terasing).

  • Ada kaum khianat, tidak mahu mati syahid, tampak gemuk-gemuk

    Menurut karya Ibnu Katsir: Sahih al-Bukhari dan Muslim: Daripada Imran bin Hushain, Rasulullah SAW bersabda:

    خَيرُ أُمَّتِي قَرنِي ثُمَّ الذِينَ يَلُونَهُم ـ قال عِمرَانُ لاَ أَدرِي أَذكَرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلَّمَ بعدَ قَرنَينِ أَو ثَلاثَةً ـ ثُمَّ إِنَّ بَعدَ كُم قَومًا يَخُونُونَ وَلَا يُؤتَمَنُونَ وَيَشهَدُونَ وَلَا يُستَشهَدُونَ وَيَنذِرُونَ وَلَا يَفُونَ وَيَظهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ

    (Mafhumnya): “Sebaik-baik umatku kurunku (mereka yang hidup pada zaman hidupku), kemudian selepas mereka. Imran berkata: Saya tidak tahu, apakah Rasulullah SAW menyebut selepas itu dua atau tiga kurun. Kemudian, sesungguhnya selepas kamu sekalian akan ada suatu kaum khianat dan tidak boleh dipercayai, mereka bersyahadah tetapi tidak mahu mati syahid, mereka bernazar tetapi tidak memenuhinya, dan zahir pada mereka gemuk-gemuk.

  • Pengganti melakukan apa yang tidak diperintahkan

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, dalam Sahih Muslim, (disebutkan) Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

    مَا كانَ مِن نَّبِيٍّ إلا وَقَد كانَ لَهُ حَوَارِيُّونَ يَهتَدُونَ بِهَديِهِ وَيَستَنُّونَ بِسُنَّتِهِ ثُمَّ إِنَّها تَخلُفُ مِن بَعدِهِم خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفعَلُونَ وَيَفعَلُونَ مَا لَا يُؤمَرُونَ

    (Mafhumnya): “Tidak ada seorang nabi kecuali mempunyai hawari (pembela). Mereka memberi petunjuk (kepada manusia) sesuai petunjuk nabinya dan melakukan tradisi (sesuai) dengan sunahnya. Kemudian, datang selepas (peninggalan) mereka pengganti-pengganti yang menuturkan apa yang tidak mereka lakukan dan mereka melakukan apa yang tidak diperintahkan.”

  • Cucu Rasulullah, Hasan adalah pemimpin

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Bakrah bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda – waktu itu Hasan bin Ali RA ada bersebelahan baginda di atas minbar:

    إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ وَسَيُصلِحُ اللَّهُ بِهِ بَينَ فِئَتَينِ عَظِيمَتَينِ مِنَ المُسلِمِينَ

    (Mafhumnya): “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini adalah tuan (pemimpin) dan Allah akan mendamaikan dengannya antara dua kumpulan besar daripada muslimin (orang-orang Islam).”

  • 3 tanda menjelang kiamat

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, Ibnu Majah meriwayatkan: Daripada Abdullah, sabda Rasulullah SAW:

    يكون بين يديِ الساعةِ أياما يُرفعُ فيها العلمُ وينزلُ فيها الجَهلُ ويكثرُ فيها الهَرجُ والهَرجُ القَتلَ

    (Mafhumnya): Menjelang kiamat akan ada hari-hari ilmu diangkat, dan diturunkan kejahilan, dan terjadi banyak rusuhan, dan rusuhan ialah pembunuhan.

  • 6 tanda kiamat

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, Ibnu Majah meriwayatkan: Daripada Anas bin Malik, dia berkata: Mahukah kamu sekalian, saya ceritakan kepada kamu satu hadis yang pernah saya dengar daripada Rasulullah SAW, yang tidak akan ada seorang pun yang menceritakannya kepada kamu sepeninggalan saya! Saya mendengar daripada baginda SAW:

    إنَّ مِن أشراطِ الساعةِ أن يُرفعَ العلم ويَظهرَ الجهلُ ويفشُوَ الزنا ويُشربَ الخمرُ ويذهب الرجالُ وتبقى النساءُ حتى يكونَ لخمسين امرأةً قَيِّمٌ واحدٌ

    (Mafhumnya): Sesungguhnya daripada tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu, zahir (berleluasa) kejahilan, tersebar perzinaan, diminum khamar (arak), hilang (berkurang) lelaki, dan kekal wanita, sehingga seorang lelaki menanggung lima puluh wanita.

  • Jangan minta mati, sebab umur mukmin bertambah bersama kebaikan

    Menurut riwayat Ahmad: Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda:

    لا يتمنَى أحدكم الموت ولا يدعُ به من قبل أن يأتيَه إنه إذا مات أحدُكم انقطع عمله وإنه لا يزيد المؤمن عمره إلا خيرا

    Seseorang daripada kamu jangan mengharapkan mati, dan jangan dia berdoa dengannya (meminta mati) sebelum datang waktunya. Sesungguhnya apabila mati seseorang daripada kamu, terputus amalannya. Dan sesungguhnya tidak bertambah umur seorang mukmin melainkan (dengan) kebaikan.

    Ruj: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 32.

  • Ke puncak gunung bersama ternakan hanya kerana untuk selamat daripada fitnah

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, diriwayatkan oleh al-Bukhari: Daripada Abu Said, sabda Rasulullah SAW:

    يُوشِكَ أن يكونَ خيرَ مالِ المُسلمِ غَنَمٌ يَتبعُ بها شَعَفَ الجِبالِ ومواقعَ القَطرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الفِتَنِ

    (Mafhumnya): Akan terjadi yang mana sebaik-baik harta seorang muslim adalah kambing yang dia mengikut dengannya sampai ke puncak-puncak gunung dan tempat-tempat terpencil untuk menyelamatkan agamanya daripada fitnah-fitnah (huru-hara).

  • Satu golongan di dalam syurga, yang lain di neraka

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, Ibnu Majah meriwayatkan: Daripada Auf bin Malik, sabda Rasulullah SAW:

    اِفتَرَقَت اليهودُ على إحدَى وسبعينَ فِرقةً فواحدةٌ في الجنةِ وسبعونَ في النارِ وافتَرَقَتِ النصارَى على ثِنتَينِ وسبعينَ فِرقةً فإحدى وسبعونَ في النارِ وواحدةٌ في الجنةِ والذي نفسُ محمدٍ بيدِهِ لَتَفتَرِقَنَّ أُمَّتِي على ثلاثٍ وسبعِينَ فِرقةً واحدةٌ في الجنةِ وثِنتانِ وسبعونَ في النارِ قِيلَ يا رسولَ اللهِ مَن هُم قال الجماعةُ

    (Mafhumnya): Al-Yahud (Yahudi) berpecah menjadi tujuh puluh satu pecahan (golongan), maka satu (golongan) di dalam syurga, dan tujuh puluh di dalam neraka. Nasara (Nasrani) berpecah menjadi tujuh puluh dua pecahan (golongan), maka tujuh puluh satu di dalam neraka, dan satu (golongan) di dalam syurga. Dan yang jiwa Muhammad ditangan-Nya (dalam kekuasaan Allah), umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga pecahan (golongan), satu (golongan) di dalam syurga, dan tujuh puluh dua di dalam neraka. Dikatakan (seseorang bertanya): Wahai Rasulullah! Siapakah mereka? Baginda bersabda (menjawab): Al-jamaah (jemaah).

  • Umat berpecah menjadi 73 golongan

    Menurut Ibnu Katsir dalam karyanya, Ibnu Majah meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW:

    تفرَّقتِ اليهودُ على إحدى وسبعينَ فِرقةً وتَفَرَّقَت أمَّتي على ثلاثَ وسبعينَ فِرقةً

    (Mafhumnya): Yahudi berpecah menjadi tujuh puluh satu pecahan (golongan) dan umatku berpecah menjadi tujuh puluh tiga pecahan (golongan).